Tuesday 22 September 2015

KISAH KEJATUHAN MELAKA (Huraian)

BAGAIMANA BERMULANYA KEJATUHAN MELAKA?




Kejatuhan Melaka bermula semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Beliau naik takhta setelah ayahandanya Sultan Alauddin Riayat Shah mangkat pada usia muda. Ketika itu Hang Tuah dan Tun Perak sudah tua. Ditambah lagi dengan sikap Sultan Mahmud Shah yang tidak elok, sedikit sebanyak menyumbang kemerosotan pemerintahan Melaka ketika itu.

Kedatangan Portugis ke Melaka pada pada tahun 1509 tidak disenangi banyak pihak termasuk pedagang-pedagang Arab dan India Muslim. Ini ditambah lagi dengan sikap buruk orang-orang Portugis yang suka membuat kacau.

Menurut sumber Sejarah Malaysia, kedatangan Portugis awalnya dilayan dengan baik tetapi keadaan berubah apabila orang-orang India dan Arab mendesak sultan dan bendahara agar tidak mempercayai pihak Portugis.

Mereka mendakwa bahawa pihak Portugis tidak akan berpuas hati dengan hanya sekadar berkongsi keuntungan perniagaan tetapi akan merampas keseluruhannya untuk diri mereka sendiri. Justeru itu, satu perancangan telah dibuat untuk menangkap orang-orang Feringgi atau Portugis dan menyerang angkatan laut mereka.

Bagaimanapun, perancangan tersebut telah terbongkar apabila seorang gadis Jawa yang sedang dilamun cinta dengan salah seorang kelasi Portugis telah memaklumkan kepada mereka.

Setelah mendapati rancangan asal telah terbongkar, pihak Melayu bertindak menangkap Ruy de Aranjo, salah seorang nakhoda Portugis bersama dua puluh kelasinya yang tidak bersenjata ketika sedang membeli barang keperluan. De Sequeira gagal membebaskan tahanan tersebut dan terpaksa berlayar meninggalkan mereka.

Pada tahun 1511, satu armada Portugis kembali dan menyerang Melaka setelah beberapa siri rundingan awal gagal. Asal sebab Portugis menyerang Melaka kerana penawanan orang-orang Portugis dan kepentingan Melaka kepada mereka setelah Goa, India. Serangan pertama Portugis gagal, tetapi berjaya menawan Melaka pada serangan ke-2. Sultan Mahmud Shah telah lari ke Pahang dan kemudiannya menetap di Pagoh.

No comments:

Post a Comment